Kesan Permodenan keatas alam sekitar
PENGENALAN
Sejak akhir-akhir ini, arus pemodenan yang semakin pesat telah mendatangkan musibah kepada penduduk yang tinggal di kawasan Bandar mahupun kawasan luar Bandar. Hal ini adalah disebabkan oleh berlakunya peningkatan pemodenan dan pembangunan. Dalam usaha untuk mengecapi kemajuan dan pemodenan yang semakin pesat kini telah menyebabkan pencemaran alam sekitar yang kritikal dan sangat berbahaya. Walaupun pembangunan dan pemodenan yang dilakukan adalah bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk dari segi ekonomi dan sosial, namun bagi sesebuah Negara yang sedang membangun misalnya tidak mampu mengelak dari masalah-masalah pencemaran alam yang berpunca daripada pelaksanaan pemodenan itu sendiri. Pencemaran merupakan satu topik yang selalu hangat diperkatakan, tetapi masalah ini tidak diambil serius oleh mereka yang bertanggungjawab. Sewajarnya tindakan perlu diambil demi mengatasi masalah pencemaran ini daripada terus menular dengan lebih bahaya kepada penduduk. Sebagai contoh, wujudnya kesan negatif yang melanda alam sekitar kita yang dahulunya bersih dari bahan toksik dan bahan tercemar. Hal ini demikian kerana sungai pada masa dahulu amat sesuai untuk kegunaan harian tetapi kini sungai terlalu kotor dan jijik untuk dijadikan sebagai punca untuk kegunaan harian. misalnya keadaan sungai di Klang dan di sungai Kelantan.
Pencemaran alam bermaksud sebagai pembuangan benda-benda atau bahan yang terhasil dari perlaksanaan aktiviti pembangunan dan pemodenan ke alam sekitar yang menyebabkan tergangunya ekosistem dan kemandirian hidupan khususnya manusia. Pencemaran juga sesuatu perubahan secara langsung atau tidak langsung terhadap sifat-sifat fizikal, haba , kimia dan biologi dengan mengeluarkan dan melepaskan bahan-bahan yang berbahaya kepada manusia dan hidupan-hidupan liar yang lain. Pencemaran alam sering menghantui pemikiran manusia tetapi segelintirnya hanya memejam sebelah mata mengenai masalah ini yang semakin parah mendekati manusia. Oleh itu, kesan-kesan negatif pencemaran alam harus ditangani dengan secepat mungkin dengan langkah-langkah yang terbaik. Pencemaran alam yang boleh diklasifikasikan kepada empat iaitu udara, air, tanah dan bunyi.
PUNCA-PUNCA PENCEMARAN ALAM
Pencemaran udara adalah satu keadaan yang melibatkan kehadiran sebarang gas atau zarah-zarah yang bertoksik dalam kandungan atmosfera. Pencemaran udara juga berlaku apabila sesuatu kandungan udara telah tercemar dengan kehadiran benda asing seperti habuk, debu, asap dan pasir. Secara tidak langsung, pencemaran itu menggangu dan membahayakan manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan harta benda. Pencemaran udara berlaku kerana berpunca dari pemodenan yang pesat yang berlaku sejak dulu lagi iaitu zaman revolusi perindustrian di Eropah yang diketuai oleh pihak Inggeris dan Amerika Syarikat pada abad ke-18. Sejak revolusi itu berlaku sehingga sekarang banyak kilang-kilang industri dibina bagi memenuhi keperluan revolusi perindusrian itu. Walau bagaimanapun, kemajuan pemodenan itu dari segi pembangunan industri kilang telah menjadi punca berlakunya pencemaran udara pada masa kini.
Hal ini demikian adalah disebabkan oleh kilang-kilang yang mengeluarkan asap-asap yang berbahaya dan mengandungi bahan kimia seperi karbon monoksida, hidrokarbon, ozon dan sulfur oksida. Apabila kandungan udara telah bercampur dengan asap-asap berbahaya dari kilang perindustrian ini akan menyebabkan kandungan udara bersih telah tercemar. Di samping iu, pencemaran udara juga berpunca dari kemajuan teknologi kenderaan seperti kereta, motosikal dan lori. Hal ini demikian kerana kenderaan tersebut mengeluarkan asap yang berbahaya seperti bahan kimia monoksida dan oksida nitrogen. Walaupun kemajuan teknologi kenderaan semakin meningkat, teknologi juga tidak mampu mengelakkan dari menjadi punca pencemaran udara yang semakin menular. Asap-asap kilang dan kenderaan akan terkumpul di ruang udara dan menjejaskan tahap kualiti udara tersebut dan akan memberi impak negatif terhadap penduduk di kawasan iu. Di samping iu,pembinaan bangunan yang menyebabkan habuk-habuk dari tapak pembinaan terkumpulnya udara dan mengancam kualiti udara.
Secara tidak langsung, kesan dari pembinaan kilang-kilang perindustrian dan pengeluaran asap kenderaan turut menyebabkan kejadian jerebu yang telah menjejaskan urusan harian penduduk seperti masalah untuk pergi ke tempat kerja dan membantutkan urusan perniagaan penduduk. Di samping itu, masalah jerebu juga mendatangkan masalah kesihatan kepada penduduk seperti sakit mata, batuk dan sesak nafas. Pencemaran udara juga menyebabkan berlakunya kejadian hujan asid yang terhasil dari kandungan bahan kimia asap kenderaan dan pembakaran hutan. Kejadian hujan asid juga menyebabkan kemusnahan harta benda kerana bahan kimia yang terkandung dalam air hujan asid mampu menghakiskan cat-cat kereta dan bangunan. Bangunan baru akan menjadi cepat rosak dan buruk yang merugikan pihak pemilik atau masyarakat pada masa kini.
Selain itu, arus permodenan dan pembangunan yang terus dibangunkan juga menyebabkan pencemaran air turut berlaku kerana kemajuan perindustrian itu sendiri. Pencemaran air ialah sumber air yang tercemar dan bercampur dengan bahan kimia yang berbahaya seperti bahan radioakif. Hal ini demikian kerana, kandungan air mengalami perubahan dari segi warna dan bau. Ini menyebabkan sumber air iu tidak dapat digunakan untuk keperluan harian kerana tidak sesuai kegunaan manusia dan mempunyai nilai pH atau kandungan asid yang tinggi. Pencemaran air berpunca dari kemajuan teknologi kilang kerana kebanyakkan pihak kilang akan membuang sisa toksik ke dalam sungai sesuka hati demi kepentingan diri mereka. Mereka melakukan demikian kerana ingin mengurangkan kos penyelenggaraan sisa toksik dan mengaut keuntungan tetapi risiko pencemaran akan tetap berlaku. Apabila pengaliran sisa toksik ke dalam sungai,ini akan mendatangkan perubahan keadaan kualiti sungai dan sumber air. Secara tidak langsung menyebabkan kandungan kimia yang tinggi dalam air sungai menyebabkan hidupan akuatik seperti ikan akan mengalami kepupusan.
Kemajuan pemodenan juga sering menyebabkan pencemaran air berlaku. Sebagai contoh, kekurangan pengeahuan menyebabkan pemilik kilang tidak bertanggungjawab kepada kualiti air. Di samping iu kemajuan teknologi pertanian juga punca berlakunya pencemaran air. Hal ini demikian kerana pergunaan teknologi pertaniaan seperti penggunaan racun serangga dan baja kimia untuk meningkatkan hasil pertanian akan mendatangkan pencemaran air. Apabila hujan berlaku di kawasan tanaman ini akan mengakibatkan aliran air hujan akan memasuki aliran tanah dan membawa bersama bahan kimia ke sungai. Secara tidak langsung, sumber air akan tercemar dan kotor. Pemodenan terhadap teknologi pertanian akan menjadi punca utama berlakunya pencemaran air. Selain itu, akiviti di laut yang melibatkan teknologi perkapalan juga menjadi punca kepada pencemaran air. Hal ini demikian kerana akiviti perindusrian petroleum akan menyebabkan berlakunya tumpahan minyak di laut dan sisa dari kapal-kapal besar.
Selain itu, pemodenan di kalangan penduduk juga menyebabkan pencemaran air berlaku. Permodenan dan pembangunan di Bandar menyebabkan penduduk melakukan transformasi cara hidup yang berbeza berbanding penduduk luar Bandar. Apabila pembangunan semakin meningkat, penduduk terdedah dengan kesibukan kota dan mendorong penduduk melakukan kesilapan dalam menjaga alam sekitar. Sebagai contoh, ramai penduduk kota membuang sampah ke dalam longkang dan sungai. Secara tidak langsung, sumber air menjadi kotor dan pembangunan yang pesat akan mendorong migrasi penduduk. Ini akan menimbulkan masalah kepadatan penduduk dan mendorong masalah sistem air kumbahan. Masalah air kumbahan yang tidak teratur menyebabkan air akan tercemar kerana terkandung bahan kimia dan bakeria-bakeria berbahaya yang mengancam kesihatan penduduk. Sebagai contoh, apabila sungai yang terlalu kotor dengan sampah sarap, bahan kimia dan bakteria akan menyebabkan masalah penyakit taun dan malaria akan menular dan mengancam kesihatan penduduk.
Pencemaran alam ini amat berkait rapat dengan pemodenan dan pembangunan yang pesat dalam masa yang terdekat dan jangka masa panjang. Selain pencemaran air dan udara yang berlaku pada masa kini terdapat juga pencemaran lain yang berpunca dari pemodenan dan peningkatan kemajuan teknologi. Pencemaran bunyi dan tanah juga berkait rapat dengan satu sama lain. Pencemaran tanah bermaksud tindakan manusia terhadap kawasan sehingga berlakunya perubahan tahap kesuburan tanah, struktur tanah dan warna tanah. Hal ini demikian kerana berpunca dari pembuangan bahan pepejal dan cecair yang berbahaya seperti bahan kimia dari kilang. Selain itu, apabila tanah terdedah kepada bahan kimia dan pembuangan sampah ini akan mengurangkan kesuburan tanah secara perlahan-lahan dan menjejaskan kesesuaian untuk tumbuhan hidup dan aktiviti pertanian.
Penerokaan tanah melalui pembalakan dan pembukaan tanah untuk pembinaan kilang-kilang perindustrian juga menjadi faktor berlakunya pencemaran tanah. Hal ini kerana apabila tanah terdedah tanpa di halang oleh pokok-pokok, struktur tanah menjadi tidak kuat kerana ketiadaan akar untuk memegang stuktur tanah semasa hujan lebat dan menggalakkan berlakunya hakisan tanah. Di samping itu, kesan dari pencemaran tanah juga menyebabkan pemanasan global dan peningkatan suhu setempat. Hal ini demikian kerana pokok-pokok berperanan penyejuk bumi hilang apabila pembalakan haram dan penebangan pokok tanpa had oleh pihak tidak bertanggungjawab. Selain itu, arus pemodenan dan kemajuan pembangunan yang pesat telah menyebabkan pemcemaran bunyi berlaku. Selain itu, terdapat juga golongan masyarakat yang menanam bahan plastik di dalam tanah dan ini akan menyebabkan kandungan bahan asing dalam tanah akan bertambah. Kesuburan tanah akan terjejas dan saluran pori-pori tanah akan tergangu yang mendorong aktiviti pertanian dan habitat tumbuh-tumbuhan musnah.
Walau bagaimanapun, arus pemodenan yang semakin maju juga mnyebabkan pencemaran bunyi dan pencemaran ini terjadi apabila berlakunya bunyi bising yang melampau di tempat dan kawasan tertentu seperti di tapak pembinaan bangunan baru dan kilang-kilang kayu. Pencemaran bunyi akan terjadi apabila bunyi melebihi 80dB (A) dan berpunca dari kemajuan teknologi pengangkutan itu sendiri. Sebagai contoh, bunyi kereta api yang begitu kuat menyebabkan pencemaran bunyi berlaku khususnya di kawasan perumahan di tepi jalan keretapi Gemas, Negeri Sembilan. Selain itu, pertambahan kenderaan berat di jalan raya menyebabkan pencemaran bunyi berlaku. Kenderaan berat seperti lori dan bas menghasilkan bunyi enjin yang kuat dan menganggu pengguna jalan raya yang lain seperti penungggang motosikal. Secara tidak langsung, berlakunya kes-kes kemalangan yang serius melibatkan kenderaan berat di lebuhraya.
Selain itu, peningkatan pembangunan kilang perindustrian juga menghasilkan pencemaran bunyi. Hal ini demikian kerana bunyi yang kuat dihasilkan dari mesin jentera dan kenderaan berat menghasilkan bunyi yang melebihi tahap biasa. Oleh itu, bunyi dari kilang-kilang perindustrian telah menganggu ketenteraman penduduk dan gangguan psikologi kepada penduduk sekitarnya. Kawasan pembinaan bangunan baru juga menghasilkan pencemaran bunyi kerana terhasil dari penanaman cerucuk-cerucuk besi dalam tanah. Penanaman cerucuk besi itu akan menyebabkan gangguan terhadap kesihatan penduduk khususnya kepada ibu yang mengandung dan kanak-kanak. Sebagai contoh, telinga kanak-kanak sangat sensitif terhadap bunyi kuat, ini akan menyebabkan kanak-kanak menjadi pekak di awal usia mereka. Walau bagaimanapun, kemajuan teknologi alatan muzik juga mendorong golongan masyarakat gemar mendengar lagu dengan kuat dan akan menganggu orang ramai khususnya jiran-jiran mereka. Sebagai contoh, alatan muzik seperti radio yang jumlah frenkuensi tinggi berjenama Sony dan Samsung mudah di dapati di kedai alatan muzik.
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN ALAM
Di arus pemodenan dan pembangunan yang pesat di kawasan Bandar dan di luar Bandar telah memberi impak pencemaran alam yang semakin mengancam keselesaan kehidupan penduduk. Oleh itu, dalam menangani msalah ini haruslah mempunyai jalan alternatif yang terbaik agar arus pemodenan dapat diteruskan tanpa menjejaskan ekosistem dan kemandirian hidupan khususnya manusia. Antara langkah yang dapat membantu mengatasi masalah pencemaran alam ialah melalui teknologi media cetak dan media elektronik. Peranan media massa amat penting kerana kemajuan teknologi tersebut menyampaikan maklumat mengenai kepentingan alam sekitar. Hal ini demikian kerana media cetak dapat menyalurkan maklumat-maklumat yang dapat menyedarkan kepada penduduk agar menjaga alam sekitar dengan penuh tanggungjawab dan rasional. Sebagai contoh, pencetakan surat khabar perlu mengandungi kesedaran yang tinggi mengenai sikap cintakan alam sekitar. Di samping itu, teknologi media cetak juga dapat menerbitkan buku-buku dan risalah yang berkualiti mengenai alam sekitar dan kepentingan air, udara dan tanih. Hal ini dapat membantu golongan mayarakat mendapat ilmu pengetahuan yang baru dan dapat mengatasi masalah pencemaran alam.
Selain itu, media elektronik juga memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah pencemaran alam dengan lebih kreatif. Secara tidak langsung dapat menyampaikan kesedaran untuk memeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar melalui iklan-iklan, rancangan televisyen dan berita. Hal ini demikian kerana, apabila kaedah media elektronik dilakukan ini dapat menarik lebih ramai golongan lapisan masyarakat untuk melihat dan mendengar pencemaran alam yabg berlaku. Sebagai contoh, iklan kartun yang menceritakan keburukan membuang sampah dan rancangan televisyen seperti Majalah Tiga (M3) sering memaparkan pemasalahan pencemaran alam dan langkah mengatasi masalah tersebut.
Selain itu, penggunaan teknologi moden juga merupakan satu langkah untuk mengatasi pencemaran alam. Sebagai contoh, tanpa kemajuan teknologi moden adalah tidak mampu membersihkan tumpahan minyak di laut dan membersihkan sungai. Kemajuan teknologi moden dapat mengubah cara mengekspolotasikan alam sekitar dengan terbaik dan tanpa menjejaskan alam sekitar. Peningkatan kemajuan teknologi dapat mengurangkan pencemaran udara dengan penciptaan alatan canggih seperti penapis asap ekzos kenderaan dan di kilang-kilang perindustrian. Hal ini dapat mengurangkan kandungan karbon monoksida dan sulfur oksida di ruang atmosfera dengan lebih sistematik. Selain itu, dengan adanya teknologi rawatan air yang moden ini dapat merawat dan menapis air kumbahan atau sisa-sisa buangan kilang sebelum di lepaskan ke dalam sungai atau laut dengan selamat dan bersih. Peningkatan teknologi Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) semakin maju telah mencetuskan penyelidikan ke atas minyak kelapa sawit sebagai pengganti bahan api dalam usaha mengurangkan pemcemaran alam sekitar. Hal ini dapat mengurangkan pengeluaran asap plumbum yang menjejaskan kualiti udara yang bersih di atmosfera.
Teknologi moden dapat mengatasi masalah pencemaran alam dengan menguruskan sisa pepejal seperti kaca, kertas, bahan plastik dan getah melalui teknologi kitar semula. Teknologi kitar semula merupakan langkah untuk mengurangkan tempat pelupusan sampah dan pembaziran bahan mentah kerana sisa pepejal itu dapat dijadikan bahan terpakai. Secara tidak langsung, dapat mengelakkan pembuangan sampah dan sisa toksik ke dalam sungai yang menyebabkan pemcemaran air berlaku. Selain itu, teknologi kitar semula juga dapat dapat mengurangkan penggunaan sumber mentah seperti pokok kerana kertas yang dihasilkan dari pokok telah dikitar semula. Hal ini dapat mengelakkan berlakunya pemcemaran tanah seperti hakisan tanah, pembalakan haram dan pembakaran terbuka yang menyebabkan pencemaran udara.
KESIMPULAN
Tuntasnya, arus pemodenan semakin maju telah membawa satu perubahan luar biasa kepada kawasan dan cara kehidupan masyarakat pada masa kini. Pemodenan yang berlaku terhadap teknologi dan pembangunan secara meluas sememangnya memberi kesan positif kepada negara dari segi ekonomi dan sosial. Walau bagaimanapun, setiap perubahan positif melalui pemodenan yang pesat sering kesan negatif terhadap kawasan dan kehidupan masyarakat itu. Oleh itu, kesan perubahan pemodenan yang berterusan telah menyebabkan pencemaran alam sekitar berlaku dan permasalahan itu tidak dibendung dengan rasional dan terbaik. Rancangan pemodenan dan pembangunan teknologi sesuatu yang baik bagi meningkatkan kemajuan sesebuah negara namun disebabkan kecuaian manusia itu sendiri telah menyebabkan pencemaran alam sekitar sperti pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran tanah dan pencemaran bunyi. Kecuaian manusia menggunakan teknologi yang moden juga menjadi faktor utama berlakunya pencemaran alam sekitar dengan meluas melepasi sempadan atau pencemaran global.
Oleh itu, kita perlulah memikirkan langkah-langkah yang efektif agar dapat membendung pencemaran alam sekitar dengan sistematik dan menjadi teras pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Tuntasnya, semua pihak yang terlibat haruslah berkerjasama agar alam sekitar dapat dikekalkan kebersihanya dan keindahan alam ciptaan Tuhan yang Esa ini. Di samping itu, kita tidak perlu menjadikan pemodenan dan kemajuan teknologi sebagai alasan tegar supaya bertindak tanpa memikirkan kepentingan alam sekitar. Kita hendaklah sedar bahawa jika alam sekitar terus tercemar, generasi akan datang kehausan signifikan alam sekitar kepada masyarakat. Oleh itu, setiap insan yang hidup di dunia ini berperanan menjaga alam sekitar terus bersih dan selamat untuk didiami oleh semua makhluk yang bernyawa.
"sharing is caring,, caring is helping,, helping is loving"
Comments
Post a Comment