Teori Fungsional

TAJUK :
Sebahagian besar daripada gerakuasa sosial yang berlaku di Eropah pada abad 18 dan 19 yang menjadi latar belakang pertumbuhan teori-teori sosial ketika itu sedang berlaku di negara membangun seperti Malaysia kini. Bincangkan empat daripada gerakuasa tersebut dengan mengambil kira kesesuaian teori fungsional dalam menganalisis isu-isu sosial dalam masyarakat Malaysia kini.

1.0       Pengenalan
Teori fungsional merupakan satu teori pada asasnya melihat masyarakat berada dalam keadaan stabil dan mantap. Masyarakat terdiri daripada satu keseluruhan yang terdiri daripada bahagian-bahagian. Dalam keseluruhan masyarakat tersebut, masyarakat terdiri daripada pelbagai bahagian dimana setiap bahagian mempunyai fungsi-fungsi tertentu yang mampu memberi sumbangan kepada golongan masyarakat tersebut. Sumbangan tersebut adalah sumbangan yang mampu memberikan manfaat kepada golongan masyarakat yang saling bergantung antara satu sama lain dan sudah pastinya sumbangan tersebut merupakan keperluan dalam masyarakat seperti saradiri, integrasi dan sebagainya.
Para fungsionalis sering mengaitkan masyarakat tersebut seperti anggota badan yang saling memerlukan antara satu sama lain kerana ia saling memberi sumbangan dan saling bergantung antara bahagian tubuh badan yang lain. Sekiranya anggota badan tersebut tidak mampu memberi sumbangan serta mampu memberikan kerosakan pada anggota yang lain anggota badan tersebut dikatakan tidak berfungsi dan ianya harus dibuang bagi menyelamatkan anggota badan yang lain. Begitu juga dalam konteks kehidupan bermasyarakat yang saling memberi sumbangan, sekiranya ada dalam kalangan masyarakat yang memberikan keburukan kepada golongan masyarakat, ianya harus dibuang atau mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan ianya terus membawa keburukan kepada golongan masyarakat yang lain. Antara tokoh yang terkenal dalam mendokong teori ini ialah Emile Durkheim, Talcott parsons, Robert Marton dan Jeffrey alexender.
2.0       Gerak kuasa Revolusi Perindustrian
            Revolusi perindustrian telah mula melanda masyarakat barat pada abad ke 19 dan awal abad ke 20. Revolusi perindustrian ini merupakan transformasi daripada sistem pertanian kepada perindustrian. Namun begitu, revolusi perindustrian kini turut melanda negara membangun terutamanya negara Malaysia. Sektor perindustrian ini terdiri daripada dua bahagian iaitu bahagian primer iaitu yang merujuk kepada pemprosesan bahan mentah manakala sektor kedua adalah sektor sekunder yang merujuk kepada proses penukaran bahan mentah kepada bahan siap. Manakala taburan dan pertumbuhan kawasan perindustrian di Malaysia pula terbahagi kepada empat bahagian utama iaitu koridor industri Pantai Barat Semenanjung Malaysia, koridor industri Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Kawasan Tengah Semenanjung dan Pedalaman Sabah Sarawak dan yang terakhir adalah taburan mengikut bandar-bandar utama.
Sektor perindustrian merupakan satu sektor yang sangat penting dalam meningkatkan pendapatan negara. Tambahan pula sektor perindustrian ini turut memberikan pelbagai sumbangan kepada masyarakat sama ada dari segi bahan industri mahupun sumber pekerjaan. Hal ini dapat mengurangkan masalah penganguran dalam kalangan rakyat malaysia. Selain itu juga sektor perindustrian ini juga meningkatkan teknologi dan kepakaran dalam negara apabila kepakaran dari luar dibawa masuk kedalam negara. Selain itu juga ia turut menggalakkan proses penyelidikan dan pembangunan dalam negara. Selain itu juga, sektor perindustrian ini juga turut memberikan sumbangan dalam mempercepatkan pembangunan fizikal dalam sesuatu kawasan. Apabila sesuatu kawasan dibuka bagi tujuan perindustrian, sudah pasti ia akan menyebabkan pertumbuhan pembangunan insfrastruktur, pembangunan bandar kemudahan sosial dan sebagainya. Di malaysia amnya, banyak kawasan industri telah membangun menjadi kawasan bandar seperti bandar baru Nilai, bandar raya Shah Alam, dan Petaling Jaya.
Namun begitu revolusi perindustrian banyak memberikan impak negatif kepada negara antaranya penyumbang pelbagai masalah terutamanya kepada alam sekitar fizikal. Seperti yang kita sedia maklum, pembangunan industri yang pesat telah menyebabkan timbulnya masalah terhadap alam sekitar seperti meningkatnya kadar pencemaran udara dan jerebu melalui pembuangan pelbagai bahan pencemar seperti karbon dioksida, karbon monoksida, sulfur dioksida dan partikel-partikel terampai iaitu PM10 dalam atmosfera. Selain itu juga, ia turut meningkatkan kejadian berlakunya hujan asid yang berlaku akibat tindakbalas antara bahan pencemar dengan wap-wap air dalam udara dan akhirnya ia akan menyebabkan kemerosotan kualiti sumber air dalam tanah. Pencemaran sumber air permukaan seperti sungai, laut dan tasik juga turut berlaku akibat pembuangan sisa ke dalam sumber air berkenaan. Menurut berita harian bertarikh 22/2/2011, Pantai lekir di Setiawan Perak telah dilanda pencemaran teruk akibat pembuangan sisa toksid dari dua buah kilang industri yang berdekatan. Ini merupakan dampak yang dapat kita lihat akibat peningkatan perindustrian dalam negara kita.
Dalam teori fungsional, kita dapat lihat bahawa revolusi perindustrian ini banyak membawa kebaikan bukan sahaja kepada golongan masyarakat malahan ianya turut meningkatkan pendapatan serta memberikan banyak kebaikan kepada negara. Namun begitu ia turut membawa kepada pelbagai kesan negatif kepada alam sekitar yang akhirnya mampu memberikan keburukan kepada masyarakat. Menurut teori ini, penyelesaian haruslah diambil agar fungsi dan sumbangan dapat dinikmati dengan selamat. Antara langkah yang diambil dalam mengatasi masalah terhadap alam sekitar ialah pengurusan sisa toksid dengan cekap dan berkesan seperti mewajibkan setiap pusat industri menyediakan takungan khas bagi pembuangan sisa toksid. Langkah seterusnya adalah dengan pengurusan bahan pencemar udara seperti menggunakan sistem penapisan dan meninggikan serombong asap. Selain itu langkah perundangan juga merupakan salah satu langkah yang berkesan.
3.0       Perubahan dalam bidang agama
            Perubahan sosial dalam kehidupan masyarakat sering mendatangkan pelbagai kesan sama ada kesan positif mahupun kesan negatif. Seperti yang kita sedia maklum, perubahan sosial masyarakat turut membawa kesan kepada perubahan sosial  dalam bidang agama. Ada golongan yang berpendapat bahawa perubahan sosial masyarakat disebabkan oleh          perubahan pada unsur-unsur yang mempertahankan keseimbangan masyarakat seperti kebudayaan, geografi, ekonomi dan biologi dan juga kemajuan. Begitu juga dengan agama, perubahan dalam amalan agama juga boleh dikatakan berpunca daripada faktor-faktor tersebut. Sebelumnya, masyarakat melayu khususnya sangat mentaati agama. Dalam norma-norma kehidupan mereka sering diiringi dengan adat serta unsur-unsur keagamaan. Tidak kira samada dalam pekerjaan, permainan mahupun dalam aktiviti-aktiviti seharian. Namun masyarakat bersifat dinamik dan sering berubah-ubah.
            Kini, masyarakat semakin hari semakin melupakan adat dan unsur-unsur agama dalam kehidupan seharian mereka. Antara faktor-faktor yang dikenalpasti yang menjadi punca kepada perubahan-perubahan ini adalah kemajuan teknologi yang semakin pesat di negara kita. Kemajuan teknologi ini bukan sahaja melanda kawasan – kawasan bandar, tetapi ia turut melanda kawasan perkampungan. Antara teknologi yang sering kita lihat penyebab kepada keruntuhan moral dan agama ialah telefon bimbit, kamera, dan lain-lain. Bukan semua teknologi membawa kepada keburukan tetapi, penyalahgunaan sesuatu teknologi ini menyebabkan masyarakat terpesong daripada norma kehidupan beragama. Contoh yang dapat kita lihat, bagaimana golongan remaja menggunakan kecanggihan telefon untuk terlibat dengan pornografi dan sebagainya.
            Selain itu juga, kemajuan dalam kehidupan juga menyebabkan masyarakat berlumba-lumba untuk mendapatkan kehidupan dengan lebih baik terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Oleh yang demikian mereka menghabiskan banyak masa untuk mendapatkan pendapatan seterusnya melupakan adat dan kehidupan beragama. Dalam teori fungsional, kita dapat lihat bahawa kemajuan teknologi adalah suatu perkara yang bermanfaat dalam kehidupan masyarakat. Malahan kemajuan yang kita capai hari ini amat penting kearah transformasi kehidupan yang lebih baik. Namun nilai-nilai agama tidak wajar dilupakan. Agama sangat berfungsi dalam mengawal perubahan-perubahan sosiobudaya, baik perubahan dalam kemajuan mahupun dalam norma-norma kehidupan seharian. Namun begitu, ia tidak bermakna kita menolak perubahan kerana perubahan itu sebenarnya adalah satu pembaharuan yang mampu membawa kita kepada kehidupan yang lebih baik jika kita tahu mengawalnya.
4.0       Perbandaran
            Perbandaran merupakan salah satu perubahan sosial yang berlaku di negara kita malaysia. Pertumbuhan sektor ekonomi dan perindustrian di malaysia telah menyebabkan pertumbuhan bandar di negara kita berkembang dengan pesat. Banyak pertempatan luar bandar dan desa telah menjadi bandar akibat sumber-sumber alam yang ada selain perkembangan ekonomi moden seperti sektor perniagaan, perindustrian, perkhidmatan dan sebagainya. namun bukan semua bandar itu terhasil akibat wujudnya sumber alam tetapi ada sebahagian bandar wujud akibat faktor sejarah iaitu ia dibangunkan oleh penjajah pada ketika dahulu seperti bandar Kuala Lumpur dan Ipoh. Perbandaran ini telah memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat dan negara. Antara sumbangan perbandaran adalah membekalkan peluang pekerjaan kepada masyarakat. Pertumbuhan bandar sebagai pusat ekonomi pasti mempunyai banyak peluang pekerjaan. Oleh yang demikian ia dapat mengurangkan pengangguran  di negara kita. Selain itu juga perbandaran turut menggalakkan proses modenisasi dan juga menggalakkan perkembangan teknologi dan sebagainya. Selain itu, perbandaran juga turut memberikan sumbangan dalam menaikkan taraf infrastruktur dan perkhidmatan di sesuatu kawasan.
            Namun begitu proses perbandaran yang pesat juga dapat menyebabkan berlakunya pelbagai kesan sama ada kepada kawasan bandar itu mahupun kawasan luar bandar. Perbandaran yang pesat di sesuatu kawasan seperti Kuala Lumpur menyebabkan berlakunya migrasi secara besar-besaran masyarakat luar bandar ke kawasan bandar terutamanya golongan muda. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan kawasan luar bandar akan mengalami masalah pengurangan tenaga buruh dan akhirnya menyebabkan sektor pengeluaran mahupun pertanian luar bandar tidak produktif. Selain itu juga, perbandaran menyebabkan berlakunya masalah alam sekitar seperti pencemaran udara, pencemaran alam sekitar, pencemaran air, tanah runtuh, banjir kilat, pulau haba dan sebagainya. Pertambahan penduduk, pembinaan yang pesat, pelepasan karbon dioksida oleh asap kenderaan dan kilang adalah antara punca masalah alam sekitar di kawasan bandar. Selain itu juga, ia turut menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas akibat pertambahan bilangan kenderaan di kawasan bandar.
            Oleh yang demikian, pelbagai langkah yang harus dijalankan bagi mengatasi masalah-masalah yang berlaku di kawasan bandar antaranya adalah melalui dasar perbandaran seimbang. Proses perbandaran haruslah dikaji, disusun dan dirancang dengan teliti agar tidak menjadi bandar primat seperti yang berlaku di Jakarta dan Manila. Penyelerakan kawasan bandar merupakan salah satu langkah yang tepat dalam menyeimbangkan kawasan bandar di Malaysia. Selain itu juga, dalam mengatasi masalah kesesakan lalu lintas,  pelaksanaan kempen seperti penduduk berkongsi kereta dan penggunaan kereta awam merupakan salah satu langkah yang baik selain meningkatkan pembinaan pengangkutan aliran ringan. Selain itu juga pengurusan sistem pepejal yang baik merupakan langkah yang wajar dilakukan dalam proses membentuk bandar yang bersih dan selamat. Jika diambil kira melalui teori fungsional, kewujudan bandar sangat penting kepada sesebuah negara itu. Namun begitu kesan yang timbul akibat perbandaran menyebabkan berlaku pelbagai implikasi dan masalah kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, langkah- langkah tersebut wajar dijalankan bagi mewujudkan sebuah bandar yang selamat.
5.0       Kesimpulan
            Gerak kuasa yang berlaku dalam masyarakat kita adalah saling berkait antara satu sama lain. dalam revolusi yang berlaku sama ada revulusi perindustrian, perbandaran dan sebagainya, ia sebenarnya saling memberi sumbangan antara satu sama lain. Teori fungsional ini banyak menerangkan tentang gerak  kuasa yang berlaku di negara kita pada masa kini. Teori fungsional sebenarnya melihat masyarakat berada dalam keadaan stabil. Namun begitu sekiranya sesuatu masalah muncul, kita haruslah memisahkan masalah tersebut atau cuba menyelesaikan masalah tersebut. Seperti yang dapat kita lihat dalam masalah revolusi perindustrian dan perbandaran yang membawa kepada pelbagai masalah kepada alam sekitar. Oleh yang demikian masalah tersebut haruslah diselesaikan dalam mewujudkan masyarakat yang stabil dan harmoni.

Bibliografi

Alpizar . islam dan perubahan social : satu teori tentang perubahan masyarakat. Diperoleh daripada http://www.uinsuska.info/ushuluddin/attachments/074_ISLAM%20DAN%20PERUbAHAN%20SOSIAL.pdf

Fungsionalisme Struktural Sebagai Sistem Dalam Domain Sosial. Diperoleh daripada                     http://www.scribd.com/doc/23711839/teori-fungsional

Perindustrian di Malaysia. Diperoleh daripada           http://www.oocities.org/sarinaz2/perindustrian.htm

Rusly Musa, Nurashikin Abdullah (2007). Geografi Alam Sekitar Manusia. Selangor :       Pearson Malaysia sdn.bhd


Perubahan social dan dampaknya. Diperoleh dariapada            http://www.docstoc.com/docs/22044090/PERUBAHAN-SOSIAL-DAN   DAMPAKNYA


"Sharing is Caring, Caring is Helping, 
Helping is Loving"

Comments

Popular posts from this blog

Teori Pembelajaran Sosial Konstraktivisme.

Kebudayaan Masyarakat India Di Malaysia

Kesan Permodenan keatas alam sekitar