Sekiranya sebuku daging itu baik

Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud :-
                “Ketahuilah, sesungguhnya didalam diri ada sebuku daging. Sekiranya daging itu baik maka baiklah seluruh tubuh, dan sekiranya ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah sebuku daging itu ialah hati.”

                Betapa pentingnya kita dalam mendidik hati agar tidak dihidapi penyakit-penyakit keji yang terlarang. Penyakit cemburu, dengki, iri hati, dan tidak boleh melihat kesenangan orang lain merupakan penyakit yang sangat merbahaya.

                Maksiat merupakan racun hati yang utama. Mereka yang mendampingi maksiat akan menyebabkan hati kian tertutup dari menerima kesucian agama. Oleh itu, jauhilah maksiat agar hati kita lebih terpelihara.

                Abdullah Ibnul Mubarak berkata :-  “ aku lihat dosa-dosa itu mematikan hati dan rindu pada berbuat dosa akan mewariskan kehinaan. Meninggalkan dosa bererti menghidupkan hati kerana itulah yang terbaik untukmu.”



Terdapat empat racun hati :-

1. Berlebihan dalam berbicara atau gurauan yang keterlaluan

            2. Berlebih-lebihan dalam memandang atau terlalu membuka mata terhadap orang lain.

3.Berlebih-lebihan dalam makan

            4. Berlebih-lebihan dalam pergaulan

Jika diperhatikan, racun-racun hati ini mengundang pelbagai penyakit-penyakit keji yang terlarang. Terdapat pelbagai situasi apabila ramai dalam kalangan kita mempunyai sifat iri hati terhadap kesenangan dan kelebihan orang lain. Sedangkan kita juga Allah S.W.T turut memberi keistimewaan kepada kita. Bagi menghapuskan sikap ini, kita haruslah sentiasa belajar untuk bersyukur dengan apa yang kita ada. Ini merupakan salah satu cara untuk mengubati hati kita. Selain itu juga kita haruslah sentiasa melakukan kebaikan kepada sesama makhluk Allah S.W.T kerana sesuatu yang baik akan dibalas dengan kebaikan dan begitulah sebaliknya.

“ Dan sesiapa melakukan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakan untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana.” [An Nisa 4.111]

“ Dan sesiapa yang melakukan sesuatu kesalahan ataupun dosa, kemudian ia menuduh kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat dusta, dan melakukan dosa yang amat nyata.” [An-Nisa 4.112]

                Sejauh manapun kita menyembunyikan dosa di dalam hati kita tetap kita tidak mampu menyembunyikan dosa tersebut daripada pengetahuan Allah S.W.T.

                “ mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah S.W.T. Padahal Allah ada bersama-sama mereka, ketika mereka merancang pada malam hari, kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah. Dan (Ingatlah) Allah sentiasa meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.”[ An-Nisa 4.108]

Menyedari kekuasaan ALLAH moga melahirkan keinsafan dan ketakwaan kita kepadaNya.  Sedarilah bahawa segalanya bermula dari hati. Kita haruslah memulakan sesuatu perkara dengan niat yang baik dan niat kerana Allah dalam melakukan ibadat seharian. ianya mampu mengelakkan kita daripada bahana dosa-dosa mahupun sifat-sifat keji. Oleh yang demikian sama-samalah kita mengkaji diri kita sendiri sejauhmana bersihnya hati kita. Dan semoga kita tidak tergolong dalam golongan orang yang sesat dan berbuat dosa.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :-
                “Dan adapun orang-orang dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan perintah Allah bertambah kekafiran mereka, disamping kekafiran yang telah ada mereka mati dalam keadaan kafir.”

Dan semoga kita tidak tergolong dalam golongan kafir tersebut. Akhir kata semoga kita sama sama dapat menjaga hati dan mengembalikan warna sekeping hati menjadi suci kembali agar kita mampu menjadi muslimin dan muslimat yang sejati dan diredhai Allah setiap masa. Dan semoga kita mampu membuka mata hati kita yang kian terpejam.
Jagalah hati jangan kau kotori
jagalah hati lentera hidup ini

Comments

Popular posts from this blog

Teori Pembelajaran Sosial Konstraktivisme.

Kebudayaan Masyarakat India Di Malaysia

Kesan Permodenan keatas alam sekitar