Benarkah Malaysia Tak Pernah Dijajah

Pengenalan

            Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan Majlis Profesor Malaysia melalui Prof. Datuk Dr Zainal Kling yang menyatakan bahawa Malaysia tidak pernah dijajah. Beliau menyatakan bahawa mengikut fakta sejarah, tanah melayu tak pernah terjajah sebaliknya hanya dinaungi atau dilindungi oleh british. Katanya sejak perjanjian pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri itu akan dijajah sebaliknya hanya dilindungi dan dinaungi. Menurut beliau lagi, hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan iaitu negeri Melaka, Pulau Pinang dan Singapura. Negeri-negeri lain hanya dinaungi dan dilindungi dan sejak mula lagi tanah melayu bukan tanah jajahan atau koloni. Majlis Profesor Negara (MPN) menyatakan bahawa British diberi kuasa mentadbir daripada segi pengurusan am, kewangan serta eksploitasi khususnya sumber alam. Tambahnya lagi mereka kelihatan melakukan penjajahan walaupun tidak sahih. Walaupun hal ehwal Persekutuan Tanah Melayu terletak di bawah pentadbiran Pejabat Tanah Jajahan di Britain tetapi kedaulatan Melayu tetap terpelihara.

           Namun begitu kenyataan yang dinyatakan oleh beliau dan pihak MPN telah menimbulkan kemarahan dan kekeliruan ramai pihak di Malaysia. Fakta-fakta sejarah yang menyatakan bahawa malaysia dijajah selama lebih 400 tahun yang telah didedahkan semenjak bangku persekolahan lagi menyebabkan masyarakat kita menganggap bahawa perkara ini tidak releven. Malah ada yang menyatakan bahawa isu ini sengaja dipolitikkan bagi kepentingan individu tertentu. Semenjak kenyataan ini dikeluarkan, ramai para ilmuwan, sejarawan serta pemimpin-pemimpin negara turut memberi kenyataan balas tentang perkara ini. Ramai antara mereka bersetuju dan ada dalam kalangan mereka tidak bersetuju sama sekali tentang perkara ini. selain itu juga, ada dalam kalangan mereka yang tidak bersetuju cuba mempertikaikan isu dengan dengan pelbagai perkara seperti mengapa adanya sambutan kemerdekaan dan mengapa negara kita terdiri dalam kalangan negara komenwel sekiranya negara kita tidak dijajah. Oleh yang demikian saya cuba memberi pendapat tentang isu ini melalui pandangan saya sendiri.


ISU : Benarkah Malaysia dijajah

             Sebelum memberikan kenyataan tentang isu ini, terlebih dahulu saya ingin mengupas tentang pendapat beberapa orang tokoh negara yang turut memberi pendapat tentang isu ini setelah kenyataan Malaysia tidak pernah dijajah dikeluarkan oleh Majlis Profesor Negara melalui Prof. Datuk Dr Zainal Kling. Kenyataan ini turut disokong oleh Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim. Selain itu juga, Tun Dr Mahathir Mohammad yang turut bersetuju dengan penyataan MPN. Beliau menyatakan bahawa hakikatnya Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pemerintah sebenar berbanding raja-raja melayu. Menurutnya lagi, sultan-sultan telah mengutuskan dan mengundang British datang menasihati mereka untuk mentadbir negara ini. Dari segi itu kita tidak ditawan tetapi setelah british berada di sini, kita telah bertindak seolah-olah dijajah. Malah Tun Dr Mahathir turut menegaskan bahawa British tidak memberi nasihat tetapi memberi arahan.

          Namun begitu ada juga dalam kalangan tokoh negara yang tidak bersetuju dengan pandangan ini antaranya adalah Prof Abdul Aziz Bari. Menurut Prof Abdul Aziz Bari, walaupun negeri-negeri melayu bukan atau tidak pernah dijajah oleh British, tetapi pada hakikatnya dijajah kerana pentadbiran negara dikawal oleh negara eropah itu sehingga negara merdeka lima dekat lalu. Hanya Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang pernah dijajah. Menurut beliau lagi, negeri-negeri melayu bukan negeri yang bebas dan berdaulat kerana mereka tidak bebas dalam pentadbiran dan dalam mengadakan hubungan luar. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia turut tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa malaysia tidak pernah dijajah. Beliau menyatakan bahawa kita tahu kita dijajah. Dalam sejarah dahulu, residen memberi nasihat kepada British. Menurut beliau lagi dalam konteks ini, nasihat pesuruhjaya atau residen harus diterima. Walaupun sultan ada namun kita tidak bebas dan terpaksa mengikut apa yang dianjurkan oleh pihak British. Tambah beliau lagi, sebab itulah kita berjuang untuk memerdekakan negara. Namun begitu kenyataan tersebut telah dibidas dan ditentang oleh Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim dan menyifatkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan orang kebanyakan yang tidak tahu tentang undang-undang.

          Berdasarkan kenyataan tokoh-tokoh ini, kita tidak harus mengambil tindakan dengan menerima kenyataan mereka tanpa membuat kajian terhadap isu ini dengan lebih mendalam. Walaupun mereka merupakan tokoh-tokoh terkenal namun masih ada keraguan disebalik kenyataan-kenyataan mereka. Tambahan pula, terdapat percanggahan pendapat antara mereka. Pada pendapat saya, mereka mempunyai pendapat dan sebab tertentu dalam mengeluarkan kenyataan tersebut. Dalam hal ini kita harus tahu bahawa mereka merupakan golongan yang sangat berpengetahuan dalam sejarah dan telah mengkaji secara mendalam sebelum mengeluarkan pendapat dan kenyataan tersebut. Dalam hal ini saya tidak menolak pendapat mereka dan tidak juga menerima sepenuhnya apa yang diperkatakan oleh mereka.

           Seperti yang kita ketahui sebelum ini bahawa malaysia merupakan negara yang pernah dijajah, namun isu yang dikeluarkan oleh Majlis Profesor Negara benar-benar mengelirukan kita sama ada negara kita merupakan negara yang pernah dijajah ataupun sekadar merupakan negara naungan. Oleh yang demikian kita haruslah memahami terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan jajahan dan naungan. Menurut kamus dewan edisi keempat, jajahan bermaksud kawasan yang termasuk di bawah satu pentadbiran manakala naungan pula membawa maksud lindungan. Oleh yang demikian, kita perlu mengungkap terlebih dahulu sama ada negara kita pernah berada dibawah pentadbiran penjajah atau sekadar berada di bawah lindungan penjajah. Barulah kita mampu mengetahui sama ada negara kita merupakan negara yang pernah dijajah ataupun tidak. Oleh itu sebelum saya memberi pendapat saya mengenai perkara ini, terlebih dahulu saya ingin mengungkap tentang sejarah negara kita yang berkaitan dengan isu ini.

           Sebelum kedatangan British ke negara kita, kita sebenarnya telah didatangi oleh portugis melalui penjajahan portugis ke atas Melaka pada tahun 1511. Seterusnya pengambilan pulau pinang oleh Francis Light juga merupakan salah satu penjajahan yang dilakukan oleh British terhadap tanah melayu pada 11 ogos 1786. Pada tahun 1641 pihak Belanda telah menewaskan Portugis dengan bantuan kesultanan Johor. Seterusnya selepas perjanjian Inggeris Belanda pada tahun 1824, Belanda menyerahkan Melaka kepada British. Pada tahun 1826, Pulau Pinang, Singapura dan Melaka di letakkan di bawah satu pentadbiran di London. Ini menunjukkan bahawa negeri Pulau Pinang dan Melaka merupakan negeri yang dijajah di tanah melayu.

            Pada akhir abad ke 19, British telah berusaha untuk campur tangan secara langsung di negeri-negeri Melayu. British menggunakan pelbagai alasan untuk tujuan campur tangan di negeri-negeri Melayu antaranya pertelingkahan takhta di negeri-negeri Melayu serta menjaga keselamatan akibat pergaduhan kongsi gelap cina. Campur tangan pihak British bermula melalui termeterainya perjanjian Pangkor. Perjanjian pangkor adalah detik yang menandakan permulaan kuasa penjajahan british keatas perak dan seterusnya negeri-negeri lain seperti Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan. Perjanjian Pangkor bermula pada 17 januari 1874 di atas kapal British yang bernama Pluto. Perjanjian yang berjalan selama 3 hari itu akhirnya merumuskan satu perjanjian yang dinamakan perjanjian pangkor yang telah dimeterai pada 20 januari 1874 antara Sir Andre Clarke.

            Antara isi perjanjian Pangkor yang paling penting bagi menjelaskan isu ini ialah Sultan Perak hendaklah menerima kehadiran seorang residen British sebagai penasihat. Nasihat resident hendak;ah dipatuhi kecuali dalam perkara agama islam dan adat istiadat melayu. Seterusnya pungutan cukai dan hasil negeri serta perlantikan hendaklah dibuat atas nama sultan tetapi hendaklah menerusi nasihat residen British. Manakala gaji residen hendaklah dibayar oleh sultan perak dan bukannya pihak British. Melalui perjanjian ini, pihak british cuba memperoleh hak pentadbiran dalam pentadbiran di negeri perak. Setelah menguasai Perak, British turut menguasai Negeri Sembilan pada tahun 1874 apabila Dato Kelana menandatangani perjanjian bagi mendapat perlindungan British. P.J Murray dilantik menjadi residen British. Dato Kelana diiktiraf menjadi penasihat British berkuasa penuh mengutip cukai di Sungai Linggi.

             Begitu juga di Selangor, Perang Klang akibat perebutan daerah Klang yang kaya dengan bijih timah oleh Raja Abdullah dengan Raja Mahadi menyebabkan British mula campur tangan. Oleh yang demikian Sultan Samad melantik Tengku Kudin untuk menamatkan perang tersebut namun beliau meminta bantuan British. Lanjutan dari peristiwa demi peristiwa di Selangor menyebabkan Sultan Samad menyuruh British melantik residen untuk menasihati beliau dalam pentadbiran. Di negeri Terengganu, Kelantan dan Perlis pula, British menguasai ketiga-tiga negeri ini melalui perjanjian Bangkok pada tahun 1909. Melalui perjanjian ini, Siam menyerahkan Terengganu, Kelantan dan Perlis kepada British kemudian British menyerahkan wilayah lain kepada Siam. Pada tahun 1941, jepun telah menyerang tanah melayu. Dalam masa 70 hari sahaja, pihak jepun telah berjaya menawan seluruh tanah melayu. Kekalahan pihak British di Tanah Melayu menyebabkan kuasa pentadbiran Tanah Melayu jatuh ke tangan pihak jepun. Seterusnya pihak Jepun telah menjajah kita selama 3 tahun 6 bulan.

           Setelah kejatuhan British di tangan jepun kita kemudiannya dijajah oleh tentera jepun selama 3 tahun 6 bulan. Setelah pengeboman Hiroshima dan Nagasaki, Jepun terpaksa menyerah kalah pada tahun 1945. Setelah itu, Parti Komunis Malaya menguasai Tanah Melayu selama 14 hari dengan melakukan banyak keganasan sehingga tercetusnya huru-hara. Setelah British kembali ke Tanah Melayu, British memperkenalkan pentadbiran tentera British yang bermatlamat untuk melaksanakan satu pentadbiran peralihan sebelum sebuah pentadbiran awam diperkenalkan. Setelah itu barulah wujudnya Malayan Union yang mendapat tentangan dan akhirnya menukarkannya dengan Persekutuan Tanah Melayu.

          Setelah menerangkan secara ringkas tentang sejarah sebelum kemerdekaan tanah melayu, dapatlah kita ketahui bahawa semenjak zaman melaka lagi, kita telah pun dijajah oleh portugis. Setelah itu kita dijajah pula oleh British secara terang dan nyata walaupun hanya melibatkan tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Lanjutan daripada peristiwa campur tangan British, secara kasarnya dapatlah kita katakan bahawa negeri-negeri tersebut tidak dijajah oleh British. Tetapi sebaliknya mereka mendapat lindungan daripada pihak British serta mendapatkan nasihat British dalam pentadbiran mereka. British telah melantik residen dalam kalangan mereka bagi melicinkan pentadbiran di bawah negeri naungan mereka. Seperti yang pernah dikatakan oleh Prof Datuk Dr Zainal Kling yang menyatakan bahawa tidak terkandung dalam perjanjian pangkor bahawa mereka melakukan penjajahan sebaliknya memberi naungan dan lindungan kepada negeri perak. Malah dapat diperkukuhkan lagi kenyataan ini apabila kita melihat tindakan Sultan Samad dari Selangor sendiri yang meminta pihak British untuk melantik seorang residen untuk menasihati beliau dalam pentadbiran negeri Selangor. Ini menunjukkan bahawa mereka hanya menasihati sultan serta memberi perlindungan tetapi bukannya melakukan penjajahan. Kenyataan tersebut diperkukuhkan lagi apabila Tun Dr Mahathir Mohammad turut menegaskan bahawa Malaysia tidak dijajah oleh British sebaliknya bertindak seolah-olah pihak mereka adalah pemerintah sebenar berbanding raja-raja melayu. Malah dalam pentadbiran, pihak British tidak memberi nasihat tetapi memberikan arahan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pihak British bertindak melampaui batas sebagai seorang penasihat.

          Namun secara halusnya pada pandangan saya negeri-negeri tersebut sebenarnya dijajah. Dalam kata lain sebenarnya kita dijajah tetapi tidak secara langsung. Mungkin isi kandungan dalam perjanjian tidak menunjukkan bahawa mereka sebenarnya dijajah namun tanpa kita sedari, kandungan isi perjanjian tersebut menyebelahi pihak British. Hal ini menyebabkan British mengambil kesempatan untuk menguasai Tanah Melayu secara tidak langsung. Ini dapat saya buktikan melalui isi Perjanjian Pangkor yang menyatakan bahawa nasihat residen British hendaklah dipatuhi kecuali perkara berkaitan dengan adat istiadat melayu dan agama islam. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak memberi peluang kepada sultan untuk membuat keputusan dalam hal pentadbiran malah sultan dan pembesar-pembesar negeri wajib mematuhi kata-kata residen. Ini menunjukkan bahawa kuasa sultan sangat terhad dalam pemerintahan dan hanya tertakluk kepada adat istiadat melayu dan agama sahaja. Sultan tidak mempunyai kebebasan untuk memerintah dalam negeri tersebut. Para Pemimpin dan sultan terpaksa akur dengan perintah residen walaupun mereka hanya penasihat sahaja. Jika benar kita tak dijajah, sultan sepatutnya mampu memerintah dengan corak pemerintahan sendiri tanpa tunduk kepada British. Dalam soal ini saya bersetuju dengan pendapat Prof Aziz Bari yang menyatakan bahawa negeri-negeri melayu bukan negeri yang bebas dan berdaulat kerana mereka tidak bebas dalam pentadbiran dan dalam mengadakan hubungan luar.

            Bukan itu sahaja, residen British turut campur tangan dalam hal adat tempatan masyarakat melayu. Hal ini dapat dibuktikan melalui campur tangan penasihat British dalam sistem perhambaan di negeri-negeri melayu. Dengan adanya campur tangan British dalam hal ehwal adat tempatan menunjukkan bahawa British cuba menguasai negeri-negeri melayu secara perlahan-lahan. Selain itu juga British turut mengeksploitasi hasil bumi di negeri naungannya seperti mengeksploitasi biji timah di negeri selangor. Selain itu juga, British turut mengutip hasil cukai daripada masyarakat tempatan. Malah perjanjian pangkor juga menyatakan bahawa pungutan cukai dan perlantikan hendaklah dibuat atas nama sultan tetapi melalui nasihat residen British. Di negeri sembilan juga, British berkuasa penuh dalam mengutip cukai di kawasan sungai Linggi. Ini menunjukkan bahawa British menjajah kita secara tidak langsung dan tanpa kita sedari.

             Seterusnya kita dijajah oleh Jepun dan kemudiannya dikembalikan kepada British setelah Jepun menyerah kalah. Seterusnya kita turut dijajah oleh British setelah Jepun menyerah kalah sebelum kuasa pentadbiran diserahkan kembali kepada kita. Saya berpendapat bahawa tidak releven untuk mengatakan bahawa Malaysia tidak pernah dijajah kerana kita pernah dijajah oleh Jepun walaupun kita tidak dijajah sewaktu campur tangan british ke atas Tanah Melayu. Saya turut tidak bersetuju Penyataan Prof. Datuk Dr Zainal Kling yang menyatakan bahawa fakta sejarah yang menyatakan Malaysia pernah dijajah harus dibaiki oleh semua golongan kerana negara kita merupakan negara yang pernah dijajah. Tidak adil rasanya jika kita memperbaiki kenyataan tersebut sedangkan negara kita pernah dijajah oleh Jepun dan Portugis walaupun secara tidak menyeluruh. Sebaliknya fakta yang perlu dibaiki hanyalah ketika kita berada di bawah naungan dan lindungan British ketika mereka campur tangan setelah Perjanjian Pangkor. Namun begitu kita harus ingat bahawa walaupun pada hakikat kita tidak dijajah pada ketika itu, namun sebaliknya kita dijajah secara tidak langsung oleh pihak British kerana mereka mengambil kesempatan di atas lantikan mereka sebagai penasihat bagi menguasai sultan di tanah melayu dan juga sosioekonomi di kawasan mereka.

            Seterusnya sekali lagi kita dijajah adalah setelah Jepun menyerah kalah. Setelah Jepun menyerah kalah Tanah Melayu berada di bawah pentadbiran tentera. Seterusnya Pentadbiran tentera digantikan dengan Malayan Union. Ini merupakan tempoh kita dijajah dan juga tempoh peralihan kuasa bagi mendapatkan tanah melayu oleh pihak British. Namun, rancangan Malayan Union tidak dapat diteruskan kerana mendapat tentangan hebat daripada masyarakat tanah melayu kerana ternyata memberi kelebihan kepada pihak British.

Penutup

            Setelah membincangkan isu ini dengan lebih mendalam dari aspek sejarah, saya berpendapat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang dijajah walaupun tidak sepenuhnya dan tidak secara langsung ketika campur tangan British. Saya tidak menafikan bahawa campur tangan British di tanah melayu pada ketika itu adalah dalam konteks naungan terhadap negeri-negeri melayu, namun kita harus mengetahui bahawa British banyak menguasai pentadbiran negeri-negeri melayu dalam semua aspek termasuk dalam adat tempatan walaupun ianya dibawah kuasa sultan. Dengan adanya penasihat british di tanah melayu, secara tidak langsung kuasa sultan dalam pentadbiran turut terjejas. Hal ini menunjukkan bahawa negara kita dijajah tetapi tidak secara langsung.

            Saya juga merumuskan bahawa tidak adil untuk mengatakan bahawa negara kita tidak pernah dijajah. Pada hemah saya tidak pernah dijajah bermaksud negara kita tidak pernah dikuasai oleh pentadbiran luar walhal negara kita pernah dijajah oleh Portugis, Belanda dan British walaupun tidak sepenuhnya iaitu hanya di negeri Pulau Pinang dan Melaka. Selain itu juga, negara kita turut dijajah oleh tentera jepun walaupun hanya selama 3 tahun 6 bulan yang mana tentera jepun memerintah negara dengan kejam menyebabkan kehidupan rakyat negara kita penuh dengan kesengsaraan ketika pemerintahan mereka. Penyataan bahawa negara kita tidak pernah dijajah menunjukkan bahawa negara kita tidak penah dikuasai oleh negara luar walaupun oleh tentera jepun. Oleh itu saya tidak bersetuju dengan istilah bahawa Malaysia tidak pernah dijajah sebaliknya Malaysia dijajah tetapi tidak secara langsung dan tidak sepenuhnya.

             Walau bagaimanapun, saya pasti setiap orang mempunyai pendapat yang berbeza tentang hal ini. Oleh itu seharusnya kita mengkaji terlebih dahulu setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu supaya tidak mudah dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Selain itu juga, masyarakat Malaysia tidak harus terus mengkritik tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh MPN dan Prof Datuk Zainal Kling tanpa mengkaji terlebih dahulu kerana mereka merupakan golongan ilmuwan dan sejarawan yang sangat berpengalaman dalam hal ini. sekiranya ingin mengeluarkan kritikan, mereka harus mengeluarkan kritikan secara berhemah dan berilmiah.

Bibliografi


Barbara Watson Andaya, Leonard Y. Andaya (2001). A History Of Malaysia. Palgrave mamillan.


Haji Syed Ibrahim (2007). Malaysia Kita, Selangor Darul Ehsan : International Law Book Services.


Muhyiddin akui negara pernah dijajah dalam konteks berbeza (2011). Diperoleh Oktober 28, 2011 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1005&pub=Utusan_Malaysi a&sec=Terkini&pg=bt_07.htm

Rahman Shaari (2011, September 5). Pernahkah Tanah Melayu Dijajah. Sinar Harian.


Ruslan Zainuddin. Sejarah Malaysia. Fajar Bakti. Shah Alam,Selangor. 2003


Tanah Melayu tak pernah jadi koloni(2011). Diperoleh September 12, 2011 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0920&pub=Utusan_Malaysi a&sec=Rencana&pg=re_01.htm


Zainal Kling & Zakri Abdul Hamid, 2011. Tanah Melayu tidak pernah dijajah British. Dipetik dari laman web http://www.tv3.com.my/beritatv3/tajuk_utama/Tanah_Melayu_Tidak_Pernah_Dijajah_British.html . bertita utama tv3






"Sharing is Caring, Caring Is Helping, Helping Is Loving"


Comments

Popular posts from this blog

Teori Pembelajaran Sosial Konstraktivisme.

Kebudayaan Masyarakat India Di Malaysia

Kesan Permodenan keatas alam sekitar