Peranan guru dalam memberi kesedaran dan pemahaman politik kepada masyarakat

Pengenalan
Politik merupakan cara atau proses membuat keputusan oleh sesuatu kumpulan. Namun konsep politik dapat dilihat daripada pelbagai sudut antaranya menurut teori klasik aristotle politik merupakan usaha yang dilakukan oleh warga negara bagi mencapai kebaikan bersama. Selain itu juga politik turut berkait rapat dengan kaedah pemerintahan sesuatu negara atau sesebuah kerajaan serta bagaimana sesebuah kerajaan itu mengekalkan pemerintahan mereka. Namun begitu politik ini bukan sahaja digunakan oleh kerajaan namun ia turut digunakan oleh syarikat, wilayah, korporat, akademik, agama dan juga institusi-institusi yang lain.
Kestabilan politik sesebuah negara itu merupakan jaminan kepada kehidupan masyarakat yang harmoni dan aman. Sebaliknya sekiranya politik sesebuah negara itu pincang maka ia pasti akan mengundang pelbagai masalah negatif dalam sesebuah negara itu seperti berlakunya peperangan, perpecahan dalam kalangan masyarakat dan juga penentangan terhadap pemimpin seperti yang pernah berlaku di Thailand dan juga Mesir. Bagi memastikan kestabilan politik sesebuah negara dikekalkan ia bermula daripada masyarakat itu sendiri. Oleh yang demikian kesedaran politik dalam kalangan masyarakat harus dibentuk bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang cinta akan negara. Oleh yang demikian pendidikan dalam bidang politik ini harus disemai dalam kalangan masyarakat sejak dibangku sekolah lagi.
Oleh yang demikian, guru merupakan satu agen yang baik dalam membentuk serta melahirkan masyarakat yang mempunyai pendidikan serta pemahaman dalam diri mereka tentang pentingnya kesedaran politik. Sebagai golongan pendidik serta tenaga pengajar dalam institusi pendidikan, memang wajarlah bagi seseorang guru itu menyemai pendidikan politik dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan pelajar mahupun mahasiswa serta mahasiswi. Oleh yang demikian, guru memainkan peranan yang amat penting dalam memberikan kesedaran serta pemahaman politik kepada masyarakat.

Peranan guru dalam memberi kesedaran dan pemahaman politik kepada masyarakat
            Seperti yang kita ketahui, guru merupakan satu agen dalam membina kesedaran dalam jiwa masyarakat tentang pentingnya semangat patriotik. Oleh yang demikian , bagi mewujudkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar, para guru haruslah memberikan kesedaran serta pendidikan politik kepada mereka . Proses pendidikan politik ini merupakan satu proses membantu perkembangan seseorang individu agar menjadi masyarakat yang baik, warga negara yang baik serta mengetahui tanggungjawab mereka terhadap negara mereka. Oleh yang demikian tidak hairanlah jika dikatakan bahawa guru adalah golongan yang sangat berperanan dalam mengubah perspeksi masyarakat terutamanya masyarakat yang mempunyai sikap prejudis terhadap negara mereka sendiri. Pendidikan politik ini boleh diajar dengan pelbagai cara sama ada pembelajaran secara langsung seperti melalui mata pelajaran sejarah, mahupun pembelajaran secara tidak langsung iaitu guru memberikan nasihat atau selingan ketika mengajar subjek-subjek lain.
            Pendidikan politik ini sangat penting dalam memupuk semangat cintakan negara serta semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. Pendidikan politik juga mampu menyuburkan jati diri dalam jiwa pelajar. Melalui pendidikan politik ini, para pelajar juga diasuh untuk menghargai apa sahaja yang mereka perolehi dalam negara ini sama ada nikmat keamanan serta kekayaan hasil bumi dan banyak lagi. Pelbagai kemewahan yang dikecapi oleh masyarakat pada hari ini sedikit sebanyak telah mengurangkan semangat patriotik. Selain itu juga, kurangnya pengetahuan sejarah dan juga merebaknya unsur-unsur budaya global juga merupakan salah satu pengaruh yang memberi kesan terhadap kurangnya semangat patriotik itu sendiri.
 Disini, guru harus memainkan peranan dengan menerapkan lebih banyak pengetahuan sejarah terutamanya tentang perjuangan-perjuangan masyarakat terdahulu seperti Dol Said, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, dan ramai lagi menentang penjajah. Dengan adanya pengetahuan ini, para pelajar khususnya akan lebih menghargai negara mereka kerana mereka mengetahui bahawa untuk mempertahankan serta memerdekakan negara ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Oleh yang demikian mereka akan lebih menghargai tentang kemerdekaan serta nikmat keamanan dan kesejahteraan yang mereka kecapi kini. Pendidikan sejarah ini haruslah diajar bermula dari bangku sekolah. Hal ini bertepatan dengan pepatah melayu yang menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila semangat patriotik ini dididik sejak bangku sekolah, pastinya mereka akan menanam nilai kasih sayang terhadap negara mereka sehingga mereka dewasa.
            Selain itu juga, guru juga berperanan dalam menyemai adat ketimuran dalam kalangan masyarakat. Tidak dapat dinafikan bahawa merupakan golongan yang harus memainkan peranan yang besar dalam mendidik anak-anak mereka bagi membentuk sahsiah yang baik dalam kalangan masyarakat tetapi guru juga harus memainkan peranan dalam memastikan adat ketimuran menjadi amalan dalam kalangan masyarakat. Pengaruh globalisasi atau pengaruh budaya barat yang kian membanjiri negara kita seperti hiburan, alat eletronik, kegiatan seni, serta bahan bacaan dari luar negara juga sedikit sebanyak telah menghapuskan nilai dan adat ketimuran dalam diri masyarakat. Hal ini telah menghakis sikap dan semangat patriotik serta mengurangkan nilai-nilai, dan tindak tanduk yang bertunjangkan nasionalisme dan akhirnya mengikis kembali kesedaran politik dalam kalangan masyarakat. Oleh yang demikian menjadi tanggungjawab guru dalam membentuk jati diri remaja terutamanya dalam memupuk kembali kesedaran politikdan nilai ketimuran.
            Pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh para guru dalam memupuk kembali kesedaran politik serta meningkatkan pemahaman politik dalam kalangan masyarakat antaranya menjalankan kempen secara besar-besaran di seluruh sekolah di negara ini bukan sahaja di kawasan bandar malah kawasan luar bandar dan juga pedalaman. Dalam perkara ini, guru haruslah memainkan peranan dengan melakukan pelbagai aktiviti yang menarik dalam menarik minat pelajar untuk memahami tentang pendidikan politik. Malah pihak guru boleh juga bekerjasama dengan para Ibu bapa dan masyarakat setempat bagi menyemai semangat patriotik sambil memberikan pemahaman politik yang sebaiknya kepada masyarakat sekeliling. Oleh yang demikian masyarakat akan lebih terdedah dengan pemahaman serta kesedaran politik  seterusnya melahirkan masyarakat yang bersatu padu, aman dan harmoni serta saling mencintai antara satu sama lain dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah ceramah, tayangan video , serta pertandingan yang boleh memupuk kecintaan mereka terhadap negara ini.
Selain itu juga, para guru juga harus memperbanyakkan aktiviti-aktiviti pelajar dengan golongan masyarakat . Hal ini akan mengajar mereka bagaimana untuk hidup bermasyarakat dan menghormati masyarakat sekeliling terutamanya warga tua. Selain itu juga, para pendidik juga harus menegur sebarang kesilapan serta memperbetulkan sikap prejudis dan etnosentrik yang ada dalam diri pelajar terhadap bangsa atau kaum yang lain. Oleh yang demikian penglibatan aktiviti bersama masyarakat ini pasti akan menyemarakkan lagi semangat cintakan bangsa. Seharusnya juga, para pelajar harus dididik untuk bergaul mesra bukan sahaja dengan bangsa mereka malah dengan bangsa dan kaum yang lain. aktiviti-aktiviti lain seperti sambutan hari kemerdekaan juga haruslah dijalankan disekolah. Sambutan kemerdekaan seperti ini mampu menyemarakkan serta meningkatkan lagi semangat cintakan tanah air yang ada dalam diri pelajar. Bagi memeriahkan suasana sambutan ini, para guru bolehlah mengambil inisiatif dengan melibatkan masyarakat setempat dalam sambutan hari kemerdekaan ini.  hal yang demikian bertujuan bagi mendedahkan masyarakat dengan semangat patriotik serta memberikan kesedaran dan pemahaman politik dalam jiwa masyarakat. Sambutan seperti ini boleh diselitkan dengan aktiviti yang menarik dan memberi faedah.
Seperti yang kita ketahui, golongan muda lebih berfikiran terbuka. Mereka juga menginterprestasikan idea-idea mereka tentang idea-idea politik dan demokrasi dengan lebih meluas (Inglehart dan norris, 2003:73). Di sekolah melalui subjek yang berhubung dengan kenegaraan seperti matapelajaran sivik dan kewarganegaraan, serta pengajian am yang diajar di sekolah menengah, para guru dan juga pelajar harus lebih berfikiran terbuka dalam membicarakan isu-isu serta yang mengandungi nilai-nilai politik. Guru-guru dan pelajar haruslah saling bertukar pendapat serta pengetahuan serta sering berinteraksi dalam membahaskan topik-topik yang berkaitan dengan hal-hal pendidikan politik terutamanya tentang isu-isu semasa. Oleh yang demikian, pelajar dapat memperoleh ilmu-ilmu politik serta pengetahuan awal tentang kehidupan berpolitik serta pengetahuan politik yang benar dari segi pandangan akademik. Tambahan pula, golongan muda khususnya remaja lebih mempercayai norma-norma politik daripada golongan masyarakat serta generasi yang lebih tua.  Kadang-kadang mereka menerima pandangan politik generasi yang lebih tua tanpa memikirkan apakah pandangan mereka benar mahupun terdapat unsur-unsur prejudis atau sikap berat sebelah dalam memberikan pandangan.
Disinilah para guru memainkan peranan dalam memperbetulkan kembali fahaman mereka tentang politik. Mereka seharusnya memperdebatkan masalah ini secara terbuka dengan golongan remaja agar unsur prejudis dalam diri mereka dapat dihakis. Namun begitu para guru haruslah seimbang dalam membicarakan isu-isu politik dan tidak harus menjurus ke arah mana-mana parti politik atau memihak kepada mana-mana pihakdalam membincangkan isu-isu sensitif yang berlaku di negara kita. Penyelesaian isu-isu tersebut secara akademik dapat membantu pelajar daripada memiliki fahaman yang salah terhadap sesuatu isu terutamanya isu perkauman yang sering terjadi sejak kebelakangan ini. Hal ini dapat mengelakkan adanya sikap prejudis terhadap kaum-kaum yang lain seterusnya dapat mengelakkan berlakunya perpecahan kaum terutamanya dalam kalangan remaja.
Para guru juga boleh menggunakan idea-idea yang lebik kreatif, kritis dan inovatif dalam membicarakan isu ini agar pembelajaran menjadi lebih menarik dan menyenangkan. Malah guru haruslah menggalakkan pelajar memberikan pendapat seterusnya mengulas pendapat mereka kepada yang lebih ilmiah dan mudah difahami. Dengan cara ini, pemahaman politik dapat disalurkan dengan baik kepada para pelajar. Oleh yang demikian sikap prejudis dan ethnosentrik ini dapat dikikis seterusnya para pelajar juga akan mampu berfikir untuk menganalisis setiap isu-isu sensitif dan tidak membuat tanggapan yang melulu yang membawa kepada masalah perkauman dan sebagainya.



Kesimpulan

             Peranan guru sangat penting dalam memberikan pemahaman serta kesedaran politik di negara ini. Para guru bukan sahaja berperanan dalam melahirkan insan yang berintelektual serta cerdas dari segi pemikiran bahkan guru juga harus memikul tanggungjawab dalam melahirkan masyarakat yang sayang akan negara dan mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa. Oleh yang demikian, ilmu berkaitan politik tidak harus diabaikan kerana ia mempunyai kepentingan tersendiri dalam melahirkan generasi yang mempunyai persefahaman dan sifat toleransi yang tinggi dalam mewujudkan sebuah negara yang maju dan bersatu padu. Oleh yang demikian para guru haruslah sentiasa mencari idea-idea baru dalam membentuk serta memberikan pemahaman politik kepada masyarakat terutamanya remaja kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah. Tambahan pula, pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi oleh para pendidik dalam memenuhi tugas mereka untuk memberikan kesedaran dan pemahaman politik terutamanya arus globalisasi yang kian menghakis nilai yang ada dalam diri masyarakat.
Namun begitu, tugas ini bukan sahaja harus dipikul oleh para guru, sebaliknya ibu bapa dan golongan masyarakat harus berganding bahu dalam memberikan pemahaman serta kesedaran politik dalam jiwa anak-anak muda masa kini. Sekiranya kita mengambil mudah perkara ini, kelak ia akan membawa kesan negatif kepada negara antaranya sifat cintakan negara akan terhakis, berlaku masalah perkauman dan perpecahan kaum yang serius, kadar jenayah yang tinggi dan sebagainya. oleh yang demikian, sebagai golongan masyarakat, kita haruslah mengetahui serta mempunyai kesedaran politik agar negara kita aman dan damai.


Sumber Rujukan
Falsafah dan Pendidikan Malaysia : Sekolah Wawasan (2008), diperoleh pada Januari 29,  2008 daripada http://www.scribd.com/doc/4853635/Sekolah-Wawasan
Politik (2011), diperoleh pada Januari 29, 2011 daripada ms.wikipedia.org/wiki/politik
Peranan guru di sekolah dan masyarakat .http://www.uns.ac.id/data/sp6.pdf
Sihabudin Zuhri (2010), Peranan Sekolah dalam Proses Sosialisasi Politik. Diperoleh pada febuari 23, 2010 daripada eprints.undip.ac.id/23898/1/SIHABUDIN_ZUHRI.pdf
Semangat patriotik. Diperoleh daripada www.scribd.com/doc/19232949/semangat patriotik.




"sharing is caring, caring is helping, helping is loving"

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Teori Pembelajaran Sosial Konstraktivisme.

Kebudayaan Masyarakat India Di Malaysia

Kesan Permodenan keatas alam sekitar